Johor, Perak dan Selangor masih seperti biasa

PETALING JAYA: Kerajaan Johor, Perak dan Selangor terus mentadbir seperti biasa di sebalik tindakan PPBM mengisytiharkan keluar Pakatan Harapan dan PKR memecat timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali.

Dua pemimpin PPBM Johor yang dihubungi FMT berkata tiada sebarang pergerakan buat masa ini, ketika situasi sedang berkembang di ibu negara.

“Buat masa ini belum ada apa-apa keputusan,” kata Pengerusi PPBM Johor, Mazlan Bujang.

Bekas menteri besar Osman Sapian pula berkata tiada sebarang tindakan buat masa ini kerana “tunggu apa yang berlaku di Kuala Lumpur”.

“Masih tergantung,” tambahnya.

Di Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri berfungsi dan beliau masih melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai menteri besar kerana masih “mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri”.

“Manakala barisan exco juga masih menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti biasa,” tambahnya.

Beliau juga sudah memaklumkan kedudukan politik negeri kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam.

Di Selangor, Menteri Besar Amirudin Shari meneruskan mandat daripada pilihan raya umum lalu, selepas mendapat persetujuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perkembangan ini selepas Amirudin, selaku Pengerusi PKR Selangor; Gobind Singh Deo, selaku pengerusi DAP Selangor; dan Izham Hashim, selaku pengerusi Amanah Selangor bertemu Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan pagi tadi.

Amirudin juga sebelum itu bermesyuarat dengan pengerusi parti-parti komponen gabungan pemerintah dan Pengerusi PPBM Selangor, Abdul Rashid Asari bagi membincangkan hala tuju negeri.

“Pentadbiran ini berikrar untuk kekal menghormati mandat rakyat,” katanya.