Kami akan terus berjuang hak Sarawak, kata Baru Bian

Baru Bian mengulangi sokongannya kepada Dr Mahathir Mohamad.

KUCHING: Bekas ketua PKR Sarawak, Baru Bian memberi jaminan untuk terus memperjuangkan hak negeri supaya ia tidak dinafikan pembangunan dan kemakmuran yang sepatutnya.

Ahli Parlimen Selangau itu antara 9 pemimpin PKR bersekutu dengan bekas timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan partinya semalam.

Dua lagi ahli Parlimen dari Sarawak yang turut meninggalkan PKR ialah Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Ali Biju (Saratok).

Azmin dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin dipecat PKR semalam.

“Saya ingin menegaskan perjuangan kami tidak berubah. Rekod perjuangan kami untuk golongan miskin dan terpinggir adalah jelas.

“Saya memberi jaminan kepada penyokong kami yang Ali Biju, Mongin dan saya bersama rakan seperjuangan lain, akan terus bertindak dengan bijak dan rendah diri sentiasa demi kepentingan rakyat, orang Sarawak dan negara kita,” kata Baru yang juga bekas menteri kerja raya dalam kenyataan hari ini.

Baru turut mengulangi sokongannya kepada Dr Mahathir Mohamad.

“Saya mengulangi kami mempunyai keyakinan penuh terhadap Perdana Menteri sementara, Mahathir untuk memimpin kami dalam merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama ketika beliau memulih dan mendamaikan negara.”

Katanya, beliau gembira mereka yang mendesak Mahathir meletak jawatan melakukan pusingan U dan kini memintanya untuk terus menerajui negara.

“Justifikasi ini membuktikan pendirian kami adalah betul selama ini.

“Saya menyeru semua penyokong memberi kami sedikit masa, bersabar dan bertenang ketika kita berdoa bersama dan berusaha mencari penyelesaian damai terhadap kebuntuan politik ini.”

Terdahulu, Ketua PH Sarawak, Chong Chieng Jen kecewa dengan peletakan jawatan pemimpin PKR negeri itu yang didakwanya berniat membentuk kerajaan baru dengan Umno dan PAS.

Chong yang menyifatkan tindakan itu “pengkhianatan terhadap PKR dan kepercayaan pengundi” berkata, tindakan mereka bersekutu dengan puak Azmin untuk menjatuhkan kerajaan PH yang dipilih secara demokratik mencetuskan huru-hara kepada negara dan melumpuhkan kerajaan.

Ahli Parlimen lain yang keluar PKR semalam ialah Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat) dan Jonathan Yasin (Ranau).