KSN pengerusi mesyuarat khas dengan KSU kementerian

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali. (Twitter pic)

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali mempengerusikan mesyuarat khas bersama semua ketua setiausaha kementerian bagi meneruskan perkhidmatan seperti biasa.

Zuki berkata, mesyuarat itu dilakukan bagi memastikan kelangsungan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan sedia ada untuk rakyat dan negara.

“Mesyuarat khas bersama ketua-ketua setiausaha kementerian bagi meneruskan khidmat seperti biasa untuk kelangsungan perancangan dan pelaksanaan dasar sedia ada untuk rakyat dan negara,” katanya menerusi twitternya, hari ini.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya.

Susulan itu, Zuki dalam kenyataan semalam memaklumkan Sultan Abdullah bersetuju melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baru selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, dalam tempoh itu, Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baru dilantik dan Kabinet dibentuk.

Zuki turut memaklumkan Sultan Abdullah, atas nasihat perdana menteri, turut membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik semalam.