Pakej rangsangan ekonomi diteruskan, Dr M akan tetap tarikh

Lim Guan Eng berkata, Dr Mahathir Mohamad akan menentukan tarikh pengumuman pakej rangsangan ekonomi itu.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad tetap akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi untuk mengurangkan impak negatif akibat penularan wabak Covid-19, atas kapasitinya sebagai perdana menteri sementara.

Bekas menteri kewangan dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Mahathir akan menentukan tarikh pengumuman pakej itu.

Lim berkata, beliau sudah menyerahkan butiran muktamad pakej itu kepada perdana menteri pada 23 Feb lalu, sehari sebelum Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri.

Mahathir pada mulanya dijadual mengumumkan pakej rangsangan ekonomi itu pada 27 Feb ini.

Pakej rangsangan ekonomi itu yang akan memfokuskan sektor pelancongan, pembuatan, pembinaan dan pelaburan domestik bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada pelaburan langsung asing.

Ia juga bertujuan mempersiapkan industri terjejas terhadap lantunan ekonomi yang diramalkan berlaku selepas krisis kesihatan umum antarabangsa itu reda.