Pemuda PPBM tolak kerjasama dengan Umno

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda PPBM di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya malam ini.

PETALING JAYA: Pemuda PPBM tidak akan bekerjasama dengan Umno dan berikrar untuk terus mempertahankan mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pendirian itu selaras ketegasan Dr Mahathir Mohamad tidak akan bekerjasama dengan Umno.

“Kita pertahankan pendirian berprinsip Dr Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan Umno ‘en bloc’ di bawah kepimpinan Zahid. Ini kerana isu rasuah, salah guna kuasa dan kes mahkamah melibatkan kepimpinan tertinggi Umno.

“Kita nak anak muda menyertai politik untuk membersihkan politik, jangan hantar isyarat buruk dan negatif kepada anak muda sampai mereka benci politik.

“Pemuda PPBM ambil ketetapan rakyat berkuasa dan telah memilih kerajaan dan tidak benarkan pencatur kuasa tentukan hala tuju negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat sayap itu di ibu pejabat PPBM malam ini.

Beliau berkata, Pemuda PPBM yakin Mahathir akan membuat keputusan tepat dan menyokong beliau terus memimpin negara.

“Beliau ada jawapan di atas segala persoalan, beliau juga sudah bertemu semua pimpinan parti politik, berikan kepercayaan dan beliau akan lakukan,” katanya sambil menambah pendirian sayap itu akan disampaikan kepada pucuk pimpinan parti.

Petang tadi, Yang di-Pertuan Agong menemui sebahagian daripada 222 ahli Parlimen sebelum memutuskan calon perdana menteri baru.

Kumpulan pertama 90 ahli Parlimen sudah menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan baki 132 lagi esok, dengan temu bual ringkas kira-kira 2 hingga 3 minit itu bagi setiap ahli Parlimen itu bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat mereka berhubung situasi politik negara.

Ini menyusul tindakan Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri dan PPBM meninggalkan Pakatan Harapan semalam.