PH capai persetujuan, tapi pemimpin enggan dedah pilihan calon PM

Dr Wan Azizah Wan Ismail melambai kepada media ketika meninggalkan ibu pejabat PKR malam ini.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan mencapai persetujuan dalam pertemuan malam ini sebelum baki ahli Parlimen mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Bagaimanapun, kebanyakan pemimpin tertinggi PH, termasuk Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR, Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng daripada DAP dan Mujahid Yusof Rawa daripada Amanah mengelak media selepas pertemuan di ibu pejabat PKR itu selesai.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, PH sudah mencapai kata sepakat, tetapi enggan mendedahkan butirannya.

“Kami sudah membuat keputusan dan akan umum esok. Kami sudah capai konsensus.”

Mujahid Yusof Rawa bergegas meninggalkan ibu pejabat PKR selepas mesyuarat Majlis Presiden PH.

Mengenai pilihan PH untuk jawatan perdana menteri, Salahuddin berkata, ia akan didedahkan esok.

Petang tadi, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mula menemui sebahagian daripada 222 ahli Parlimen sebelum memutuskan calon perdana menteri baru.

Kumpulan pertama 90 ahli Parlimen menemui Agong hari ini dan baki 132 lagi esok, dengan temu bual ringkas kira-kira 2 hingga 3 minit itu bagi setiap ahli Parlimen itu bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat mereka berhubung situasi politik negara.

Salahuddin Ayub meninggalkan ibu pejabat PKR selepas mesyuarat Majlis Presiden PH malam ini.

Terdahulu, Barisan Nasional dan PAS mahu Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan untuk memilih kerajaan baru, selepas ahli Parlimen parti pembangkang itu menghadap Agong.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menyifatkan mesyuarat hari ini “gembira”.

Katanya, PH tidak membincangkan pendirian Umno dan PAS yang mahu pilihan raya umum diadakan.

“Kenapa perlu bazir wang untuk pilihan raya umum apabila kita boleh mendapat majoriti.”

Tetapi, beliau menolak kemungkinan untuk meraih majoriti 2/3 kerana ia “mencukupi” jika PH boleh mendapat majoriti mudah.

Ini ialah mesyuarat Majlis Presiden PH pertama sejak PPBM meninggalkan gabungan itu dan Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri semalam.