Puak Azmin edar SD untuk sokong Dr M, bukan tubuh kerajaan baru, kata bekas PKR

Bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali dan pasukannya mengedarkan akuan berkanun di himpunan di Hotel Sheraton pada Ahad.

PETALING JAYA: Seorang bekas pemimpin PKR yang keluar parti mendakwa mereka yang dituduh menyebabkan Pakatan Harapan jatuh sebenarnya cuba selamatkan negara dan menyokong perdana menteri sementara, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pertemuan di Hotel Sheraton pada Ahad, di mana wakil-wakil rakyat Barisan Nasional dan 11 ahli Parlimen PKR bertemu, bukan untuk menubuhkan gabungan baru tetapi menandatani akuan berkanun menunjukkan sokongan kepada Mahathir sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

“Di mesyuarat majlis presiden PH pada Jumaat, orang-orang ini yang sekarang tiba-tiba menunjukkan sokongan kepada Mahathir adalah orang yang menuntut peletakan jawatannya.

“Orang-orang sama ini sekarang menawarkan sokongan kepada Mahathir tetapi mereka sebenarnya datang dengan belati tersembunyi,” katannya yang enggan dinamakan kepada FMT.

DAP semalam berkata ia mahu Mahathir dilantik semula sebagai perdana menteri, Ia juga berkata ia tidak mahu menyokong orang yang bekerja dengan pemimpin-pemimpin BN yang tercemar.

Mohamad Sabu dari Amanah juga berkata beliau akan menyokong Mahathir sebagai perdana menteri.

Perkembangan ini menyusuli peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri ke-7 semalam.

Bekas pemimpin PKR itu beritahu FMT pertemuan di Sheraton pada Ahad bagi membolehkan semua yang menyokong Mahathir menandatangani akuan berkanun.

Akuan berkanun yang diedarkan pada Ahad.

“Apa lagi pilihan yang kami ada kerana sehingga Sabtu ada usaha yang serius oleh orang lain untuk menghalang Mahathir daripada terus menjadi perdana menteri,” tambahnya.

Oleh kerana itu, akuan berkanun itu menyatakan penandatangan akan menyokong Mahathir sehingga habis penggal.

“Sekarang, semua 221 ahli Parlimen tiba-tiba menyokong Mahathir sebagai perdana menteri tetapi kita yang digelar pengkhianat,” katanya, merujuk kepada komen-komen di media sosial yang melabel mereka sebagai pengkhianat.

Beliau berkata pemimpin BN berada di Sheraton untuk menunjukkan sokongan kepada Mahathir dan bukan untuk membincangkan barisan baru Kabinet.

“Tidak ada rundingan mengenai pembentukan kerajaan baru. Kami hanya mahu bilangan yang cukup untuk menyokong Mahathir bagi menghalang kumpulan lain menjatuhkan beliau,” katanya.

“Kesilapan kami adalah tidak beritahu orang awam tentang tujuan mesyuarat itu.

“Kami patut tunjuk SD kepada media pada masa itu. Bagi menunjukkan kebenaran.”

Beliau berkata ahli-ahli Parlimen Umno mungkin tunjukkan sokongan tetapi terserah kepada Mahathir untuk pilih ahli-ahli Parlimen yang dia mahu untuk bentuk kerajaan. “Beliau tahu kebenarannya”.

“Semua ahli Parlimen boleh sertai kerajaan. Bagaimanapun, hanya perdana menteri boleh beri mereka peranan,” katanya.

Beliau berkata PKR pecat Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin kerana menyokong Mahathir sehingga habis penggal.

“Tetapi, sekarang PKR dan DAP juga dakwa sokong PM sehinga habis penggal. Kenapa baru buat sekarang?” soalnya.

Ahli-ahli Parlimen yang meninggalkan PKR pada Isnin adalah Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Edmund Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo), dan Jonathan Yasin (Ranau).