Rakyat perlu tentukan masa depan negara, bukan elit politik, kata Tok Mat

Mohamad Hasan berkata, cadangan BN dan PAS untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU ialah jalan terbaik untuk demokrasi berfungsi sebaiknya.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, Barisan Nasional dan PAS mencadangkan Parlimen dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya umum kerana masa depan negara serta kestabilan politik perlu ditentukan rakyat, bukannya elit politik.

“Cadangan ini amatlah munasabah, wajar dan sangat sesuai untuk menyelesaikan kemelut politik pasca kejatuhan Pakatan Harapan.

“Kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat adalah jalan terbaik untuk demokrasi Malaysia berfungsi sebaiknya.

“Semoga dilimpahkan rahmat taufik dan hidayah daripada Allah buat semua demi mendapatkan keputusan terbaik buat sekalian rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, BN bersama PAS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mencadangkan Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum bagi memilih kerajaan baru selepas menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa dilaporkan berkata, ahli Parlimen Umno menyuarakan sokongan kepada Mahathir untuk membentuk kerajaan baru tanpa DAP, ketika mereka menghadap Agong Ahad lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka menarik balik akuan bersumpah (SD) menyokong Mahathir kerana tidak bersetuju dengan cadangan perdana menteri sementara itu memilih ahli Parlimen secara berseorangan untuk membentuk “kerajaan perpaduan” tanpa pembangkang.

Beliau berkata, pembentukan kerajaan baru harus dibuat berasaskan parti, bukannya individu yang dipilih Mahathir.