2 individu terakhir dikait LTTE bebas

12 individu sebelum ini didakwa berkaitan kumpulan militan LTTE.

KUALA LUMPUR: Dua lagi lelaki dilepas dan dibebaskan oleh 2 Mahkamah Tinggi berasingan hari ini atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ini menjadikan semua 12 lelaki termasuk 2 Adun yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan sama dibebaskan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengeluarkan perintah pembebasan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farhan Aliff Ahmad dan Muhammad Asyraf Minhad memaklumkan pihak mereka mendapat arahan daripada peguam negara supaya tidak meneruskan prosiding terhadap B Subramaniam, 58, dan S Thanagaraj, 27.

Terdahulu, Farhan Aliff dan Asyraf memohon prosiding kes itu dihentikan mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah dan memberitahu bahawa tiada prospek untuk semua tertuduh dituduh semula.

Peguam S Selvam dan Gaithri Thomas mewakili peniaga, Subramaniam serta peguam N Ahilan mewakili penjaga stor, Thanagaraj memohon mahkamah melepas dan membebaskan anak guam mereka berikutan arahan yang dikeluarkan peguam negara sebelum ini.

Hakim Nazlan berkata memandangkan keputusan pendakwaan untuk menghentikan prosiding, maka kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan di bawah Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

Kedua-dua tertuduh didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama “US SUBRA SUBRAMANIAM” dan “Tamilarasan Sivam” di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di sini, pada Januari dan Oktober tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Thanagaraj turut didakwa atas 2 lagi pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan pengganas itu di dalam telefon bimbit miliknya di 2 lokasi berbeza di Pulau Pinang pada 12 Okt tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Ahli keluarga kedua-dua tertuduh turut hadir di mahkamah.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi sama melepas dan membebaskan Adun Seremban Jaya P Gunasekaren, 61, dan pemandu teksi V Balamurugan, 38, atas pertuduhan serupa.

Semalam, Adun Gadek G Saminathan, 35, juruteknik S Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M Pumugan, 30; ahli DAP, V Suresh Kumar, 44; ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, S Chandru, 39; seorang guru, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 29, dan penghantar surat, S Teeran, 39, turut dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi sama atas pertuduhan serupa.

Semua mereka sebelum ini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan. Di bawah Sosma mereka tidak dibenar diikat jamin.

Pada 21 Feb lepas, Peguam Negara Tommy Thomas memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap 12 tertuduh atas alasan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.