Aktivis pelajar didakwa ganggu keamanan pada konvokesyen UM

Majistret membenarkan Wong Yan Ke diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

KUALA LUMPUR: Bekas pelajar Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan cuba mengganggu keamanan dengan mengadakan protes terhadap naib canselor universiti itu pada majlis konvokesyennya.

Wong yang menamatkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan awam, didakwa sengaja mengaibkan Naib Canselor, Abdul Rahim Hashim dan tetamu pada konvokesyen UM ke-59, dengan mengetahui kemarahan yang beliau bangkitkan itu akan mengganggu keamanan awam.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dia boleh dipenjara maksimum 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali membenarkan aktivis itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah tidak mengenakan syarat tambahan untuk jaminan itu dan menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria meminta mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 atas alasan ini ialah kes kepentingan awam.

“Kami turut menggesa mahkamah mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.”

Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Wong merayu jaminan lebih rendah kerana anak guamnya tidak bekerja dan tiada rekod jenayah.

“Beliau hanya melaksanakan kebebasan bersuaranya.”

Wong mencetuskan kekecohan pada majlis konvokesyennya pada 14 Okt 2019 dengan membawa plakad bantahan ke pentas untuk mendesak Rahim meletak jawatan sebagai naib canselor.

Ketika Wong mengadakan protes itu, Rahim duduk di barisan depan dewan ketika konvokesyen sedang berlangsung.

Wong memberitahu FMT, protes terhadap Rahim dibuat kerana nama universiti itu digunakan untuk tujuan perkauman dan politik berikutan penglibatan universiti itu dalam penganjuran Kongres Maruah Melayu bersama 3 universiti lain di Shah Alam pada 6 Okt tahun lalu.

Rahim dilaporkan menyampaikan ucapan berbaur perkauman pada kongres itu yang menjadi tumpuan media selepas ketua penganjur, Zainal Kling dilapor mengingatkan kaum lain mengenai kontrak sosial mereka dengan orang Melayu dan berkata Malaysia ialah negara orang Melayu, seperti China untuk orang Cina dan India ialah negara orang India.