Allah, beri saya petunjuk, pohon Dr M selepas cadang bentuk pemerintahan baru

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad memohon kepada Tuhan supaya diberi petunjuk dalam usahanya mencari penyelesaian kepada kemelut politik semasa.

Dalam perutusan khas kepada negara yang disiarkan secara langsung menerusi siaran rasmi, Mahathir berpendapat penyelesaiannya pembentukan pemerintahan “yang tidak memihak kepada mana-mana parti”.

“Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

“Jika diizin inilah yang akan saya cuba,” katanya.

Perutusan ini tidak lama sebelum semua ahli-ahli Parlimen selesai menghadap Agong di Istana Negara berhubung pembentukan kerajaan baru menyusuli peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri ke-7 pada Isnin.

Terdahulu dilaporkan 138 daripada 222 ahli Parlimen menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan semasa, tetapi Barisan Nasional dan PAS semalam menarik balik akuan dan mahu Parlimen dibubarkan bagi membuka laluan kepada pilihan raya.

Hari ini, PKR dan DAP dilaporkan menyokong Anwar sebagai perdana menteri, mengikut persefahaman yang dicapai oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum ke-14.

Mahathir dalam perutusannya berkata beliau meletakkan jawatan kerana terdapat tuduhan beliau tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa.

Bagaimanapun, Mahathir tidak melihat kuasa dan jawatan sebagai matlamat yang paling utama, sebaliknya kuasa dan kedudukan alat untuk mencapai objektif.

“Objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara,” katanya.

“Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang.”

Mahathir mengingatkan akan janjinya untuk meletak jawatan bagi memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa penggantinya, “jadi peluang untuk menukar kepimpinan memang ada”.

“Hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak, masa untuk saya letak jawatan belum tiba,” katanya.

Mahathir berkata dia minta diberi masa tetapi partinya, PPBM memutuskan untuk keluar daripada gabungan pemerintah, Pakatan Harapan.

“Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini Kerajaan Pakatan Harapan akan gugur,” katanya.

Mahathir menerangkan kesannya jika PPBM menyokong PAS dan Umno maka parti yang kalah akan membentuk kerajaan, yang akan didominasi Umno.

Beliau bagaimanapun ada pandangan tersendiri mengenai bekas partinya itu.

“Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai Parti Umno. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan.”

Mengenai pembentukan kerajaan “yang tidak memihak kepada mana-mana parti”, Mahathir sedar apa juga yang dilakukannya sekarang akan ditentang dan ditolak orang ramai, tetapi harapannya mungkin ada yang menyokong.

“Saya hanyalah membuat sesuatu saya anggap baik bagi negara. Politik, orang politik dan parti politik terlalu utama politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara,” katanya.