Baki 132 ahli Parlimen menghadap Agong hari ini

222 ahli Parlimen menghadap Agong di Istana Negera bagi menyatakan pandangan mereka berhubung kemelut negara.

KUALA LUMPUR: Sesi ke-2 ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dijadual berlangsung hari ini, sekali gus menjadi antara tumpuan utama hal berkaitan perkembangan terkini situasi politik semasa di Malaysia.

Sultan Abdullah bersetuju menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian baki 132 daripada 222 ahli Dewan Rakyat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kemelut politik yang melanda negara sejak Isnin lalu.

Sesi menghadap dan temu bual bersama wakil rakyat secara individu di Istana Negara itu akan bermula jam 10 pagi ini dengan disaksikan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Semalam, Agong bersetuju menerima menghadap 90 ahli Parlimen bagi mendengar sendiri pandangan dan menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baru.

Ia susulan keputusan mengejutkan Dr Mahathir Mohamad pada Isnin, yang meletak jawatannya sebagai perdana menteri ke-7 dan pengerusi PPBM.

Sultan Abdullah kemudian melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baru selepas menerima surat peletakan jawatan itu.

Sultan Abdullah turut membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Mahathir, sekali gus menyaksikan tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) terhenti pada tarikh yang sama.

Sementara itu, di Putrajaya, Mahathir dijadual menemui Presiden Parti Warisan Sabah, Mohd Shafie Apdal di Pejabat Perdana Menteri.

Pakatan Harapan (PH) juga dijangka mengeluarkan kenyataan hasil mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung malam tadi.