Bekas pemimpin PKR Sarawak puji formula kerajaan tak berpihak Dr M

(Dari kiri) Ahli Parlimen Selangau Baru Bian, Ahli Parlimen Saratok Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin menyifatkan formula Dr Mahathir Mohamad sebagai hala tuju baru negara.

KUCHING: Bekas pemimpin PKR Sarawak menyambut baik formula Perdana Menteri sementara, Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kerajaan nasional yang inklusif, tetapi tidak berpihak kepada mana-mana parti.

Terdahulu, Mahathir dilaporkan berkata, beliau merasakan pembentukan kerajaan yang bebas daripada politik partisan boleh menjadi penyelesaian kepada kemelut politik semasa berpunca daripada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan minggu ini.

“Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang.

“Jika dibenarkan, saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan,” kata Mahathir petang tadi.

Susulan itu, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian, Ahli Parlimen Saratok Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin dalam kenyataan bersama hari ini menyifatkan formula itu ialah hala tuju baru negara.

“Kami dengan itu menyambut baik formula kerajaan nasional Mahathir yang inklusif dan tidak berpartisan.

“Kami terbukti betul dengan kenyataan beliau (Mahathir) yang mencerminkan apa yang kami katakan semalam. Kenyataan Mahathir mengukuhkan lagi pendirian kami yang perdamaian dan pemulihan paling penting.

“Kami mengulangi sokongan penuh untuk Mahathir menerajui negara ketika ekonomi kita berdepan cabaran isu global dan sekarang kita menghadapi kemelut politik.”

Mereka berkata, Mahathir mempunyai pengalaman menerajui negara dan pernah menyelamatkan negara daripada krisis kewangan global.

“Beberapa hari ini, permainan angka memberi tekanan kepada semua orang dan negara.

“Cara terbaik dan paling bijak ialah bangkit daripada ketidakstabilan ini dan menjalin hubungan dengan semua pihak.”

Mereka menggesa rakyat tidak mempercayai semua yang dibaca dalam talian kerana ada terlalu banyak khabar angin dan teori konspirasi.

“Kami meminta anda mempercayai kami ketika kami mencari penyelesaian untuk menangani keadaan malang ini.

“Keutamaan kami sekarang ialah menstabilkan keadaan politik ini.”

Tiga ahli Parlimen Sarawak itu antara 9 wakil rakyat yang meninggalkan PKR semalam, susulan pemecatan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin.