Dr M selesai bincang pakej rangsangan, umum tak lama lagi

Dr Mahathir Mohamad dijadual mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Feb ini.

PUTRAJAYA: Perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi untuk mengurangkan impak negatif akibat penularan wabak Covid-19 tidak lama lagi.

Mahathir di Twitter hari ini memaklumkan beliau selesai bermesyuarat bersama para pegawai atasan Kemeterian Kewangan mengenai perkara itu hari ini.

Semalam, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan memaklumkan beliau sudah menyerahkan butiran muktamad pakej itu kepada Mahathir pada 23 Feb lalu, sehari sebelum beliau melepaskan jawatan perdana menteri.

Mahathir dijadual mengumumkan pakej rangsangan ekonomi itu pada 27 Feb ini.

Pakej rangsangan ekonomi itu yang akan memfokuskan sektor pelancongan, pembuatan, pembinaan dan pelaburan domestik bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada pelaburan langsung asing.

Ia juga bertujuan mempersiapkan industri terjejas terhadap lantunan ekonomi yang diramalkan berlaku selepas krisis kesihatan umum antarabangsa itu reda.