Hormat tindakan Agong, kata Azmin selepas PAS, BN tarik SD sokong Dr M

Azmin Ali berkata, kini terpulang kepada Agong untuk menentukan perdana menteri baru selepas Umno dan PAS menarik balik SD bersyarat menyokong Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menggesa semua pihak tanpa mengira parti menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong mendengar pendirian setiap ahli Parlimen sebelum menentukan calon perdana menteri baru.

“Kita hormati proses yang sedang berjalan di dalam istana. Proses ini masih berjalan dan kita harus menghormati proses tersebut.

“Agong mempunyai peranan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara dan proses ini sedang berjalan.

“Kita sebagai ahli Parlimen harus menghormati proses yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Barisan Nasional dan PAS mahu Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum serta menarik balik akuan bersumpah menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan membentuk gabungan baru tanpa DAP.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mula menemu bual setiap seorang daripada 222 ahli Parlimen mulai petang semalam, yang dalam pertimbangannya mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri susulan peletakan jawatan Mahathir pada Isnin lalu.

Ditanya jika Mahathir masih boleh membentuk kerajaan baru selepas Umno dan PAS menarik balik SD yang ditandatangani mereka, Azmin berkata, kini ia terserah kepada bidang kuasa Agong.

Sementara itu, seorang pemimpin wanita PKR pro-Azmin berkata, pembubaran Parlimen sukar dilakukan apabila penggal kerajaan sedia ada kurang daripada 3 tahun.

“Pembubaran Parlimen boleh berlaku atas nasihat perdana menteri saja dan dipersetujui Agong,” katanya sambil meminta semua pihak tidak bermain kotor dan menghormati keputusan Sultan Abdullah.

Azmin dan sekutunya menghadap Agong ditemu bual Agong hari ini.