Peguam mengaku tak bersalah buat hasutan kaum di FB

Majistret membenarkan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Balai Polis Gombak setiap bulan.

KUALA LUMPUR: Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan membuat hasutan perkauman di Facebook pada bulan lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Jika sabit kesalahan, Khairul boleh dipenjara maksimum 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Syed Azimal Farhan Maarof mewakili Khairul, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria mewakili pihak pendakwaan.

Dia didakwa memuat naik satu klip video 2 minit 17 saat ke akaun Facebooknya bulan lalu, di mana dia berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut mengenai orang Cina dan India.

Majistret Wong Chai Sia membenarkan Khairul diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Khairul didakwa mencetuskan kontroversi apabila dia mengugut akan membuat laporan polis berhubung hiasan “berlebihan” sempena sambutan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah menengah di Puchong.

Naib presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu dilaporkan berkata, tindakan sekolah berkenaan bertentangan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana ibu bapa Islam merasakan hiasan itu ialah cubaan untuk menyebarkan kepercayaan agama selain Islam kepada pelajar.