PPBM Sabah mahu Mahathir terus jadi PM

KOTA KINABALU: PPBM Sabah menyuarakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjadi perdana menteri.

Ketuanya, Hajiji Mohd Noor berkata, khidmat dan kepimpinan Mahathir amat diperlukan untuk membolehkan negara meneruskan agenda pembangunan dan menguruskan ekonominya.

“PPBM Sabah menyokong penuh Dr Mahathir untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-8 Malaysia bagi menyatukan rakyat, menubuhkan kerajaan yang stabil dan meneruskan agenda pembangunan negara.

“Perkara paling penting sekarang ialah negara memerlukan Dr Mahathir untuk mengurus dan memperbaiki ekonomi kami yang ketika ini sedikit suram susulan pergolakan politik negara dan penularan koronavirus (Covid-19),” katanya hari ini.

PPBM Sabah mempunyai 5 ahli Parlimen, iaitu Ronald Kiandee (Beluran), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Abdul Rahim Bakri (Kudat), Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Hafez Yamani Musa (Sipitang).

Adun Sulaman itu berkata, negara memerlukan pemimpin cemerlang seperti Mahathir untuk mengurus dan mengembalikan ekonomi negara ke landasannya berdasarkan keadaan ekonomi global semasa.