Rayuan peniaga atas pembebasan Guan Eng ditangguh kerana peguam hadap Agong

Lim Guan Eng didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk meluluskan satu perjanjian tanah dan pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn di bawah harga pasaran. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Rayuan seorang peniaga dalam talian untuk semakan semula pembebasan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah ditangguhkan kerana peguam Ramkarpal Singh perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Peguam Harshaan Zamani memberitahu panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Rhodzariah Bujang, Ramkarpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor perlu melaksanakan tugas berperlembagaannya.

“Seperti yang tuan hakim ketahui, krisis politik sedang berlaku dan Ramkarpal akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.”

Dua hakim lain ialah Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Abu Bakar Jais.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar tidak membantah penangguhan itu. Panel terbabit menetapkan rayuan itu didengar 14 Mei ini.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mula menemu bual setiap seorang daripada 222 ahli Parlimen yang dalam pertimbangannya mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad pada Isnin lalu.

Kemudian, Harshaan memberitahu wartawan, Lim yang juga ahli Parlimen Bagan diberikan pengecualian tidak menghadiri prosiding itu.

Lim juga akan ditemu bual Agong hari ini.

Ramkarpal mewakili Lim, A Rueben Kumar mewakili Phang dan J Gunamalar mewakili Muhsin Abdul Latheef.

Pada 12 Okt 2018, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang memerintahkan Muhsin tiada locus standi untuk memohon semakan kehakiman terhadap pembebasan itu.

Hakim Hadhariah Syed Ismail dilaporkan berkata, Muhsin yang juga dikenali sebagai Mamu Parpu tiada hak memohon pembebasan itu dikaji semula dan diketepikan atau diubah serta digantikan dengan perintah Lim dan Phang dilepaskan tanpa dibebaskan kerana beliau bukan sebahagian daripada prosiding itu.

Katanya, beliau memutuskan untuk membebaskan Lim dan Phang selepas mendengar hujah semua pihak. Ini bermakna pendakwaan tidak boleh mengenakan semula pertuduhan sama terhadap mereka berdua.

Muhsin memfailkan semakan semula itu pada 19 Sept 2018 untuk memohon Hadhariah mengkaji semula penghakimannya pada 3 Sept untuk membebaskan 2 tertuduh daripada dakwaan yang difailkan pada 2016.

Beliau ialah saksi pendakwaan pertama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam perbicaraan rasuah itu.

Lim didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk meluluskan satu perjanjian tanah dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran daripada Phang.

Beliau juga didakwa gagal mengisytiharkan kepentingan dan hubungannya dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri, di mana beliau meluluskan permohonan pengezonan semula 2 bidang tanah daripada pertanian kepada perumahan awam oleh MESB dengan Phang merupakan pengarahnya.

Phang dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan Lim dalam pembelian banglo di Jalan Pinhorn daripadanya pada harga RM2.8 juta.