KEMASKINI: SD sudah tak relevan, kata Anwar

KUALA LUMPUR: Akuan berkanun (SD) yang ditandatangani Barisan Nasional, PAS atau mana-mana pihak dalam soal pilihan perdana menteri sudah tidak relevan, kata Anwar Ibrahim hari ini.

“Agong bagi ruang kepada semua, maknanya dengan cara ini SD itu dah dianggap tak relevan.

“Kerana Agong lihat sendiri dan proses, dan kita sahkan pilihan kita tanpa kenyataan di luar, maknanya dia mungkin berbeza dengan kenyataan di luar,” katanya kepada pemberita di kediamannya selepas menghadap Sultan Abdullah di Istana Negara hari ini.

Sebelum ini dilaporkan 138 ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan termasuk 26 ahli Parlimen PKR menandatangani SD menyokong Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan semasa.

Antara yang terlibat menandatangani SD itu ialah 18 ahli Parlimen PAS, 26 (PKR), 13 (Umno) dan 26 (PPBM).

Semalam, BN dan PAS menarik balik SD itu di mana Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, berkata pendirian itu terpaksa dibuat berikutan wujud cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan daripada Mahathir.

Hari ini Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew berkata, PKR menandatangani pengisytiharan menyokong Anwar sebagai perdana menteri ke-8, sementara Sin Chew Daily melaporkan ahli Parlimen DAP juga akan mengundi Anwar.

Ditanya pemberita adakah beliau ada suatu persetujuan dengan Mahathir, Anwar jawab tiada.

“Kita akan bincang pada 4.30 petang,” katanya, yang bergegas ke ibu pejabat PKR untuk sidang media Pakatan Harapan yang dijadualkan pada waktu tersebut.