Shahrir antara 34 gagal cabar kompaun SPRM

Shahrir Samad.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak cubaan 34 individu, termasuk Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan dan veteran Umno, Shahrir Samad, mencabar kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap mereka bagi membayar balik dana 1MDB yang didakwa diterima mereka.

Hakim Nordin Hassan membuang permohonan mereka memohon kebenaran mendapatkan semakan kehakiman di kamar hari ini.

“Hakim tidak memberikan sebarang perintah terhadap kos,” kata peguam kanan persekutuan, Ahmad Hanir Hambali, yang tampil mewakili SPRM dan Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya, kepada pemberita.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili 34 individu itu.

Shahrul berkata Nordin membuang permohonan memohon kebenaran atas sebab tindakan SPRM mengeluarkan kompaun itu sebahagian daripada prosiding jenayah.

Beliau berkata beberapa individu akan merayu keputusan itu.

Semua 34 individu itu mendakwa langkah Latheefa mengeluarkan notis kompaun terhadap mereka berkenaan dana 1MDB terlalu awal, mengelirukan, dan tort misfeasans dalam jawatan awam.

Mereka juga mahukan suatu perintah menghentikan SPRM menguatkuasakan kompaun itu atau meneruskan pendakwaan.

Tahun lepas, SPRM mengeluarkan kompaun mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) terhadap 80 individu dan syarikat dikatakan terima dana daripada 1MDB, berjumlah RM420 juta.

Dalam kalangan penerima yang didakwa itu adalah Nazir Razak, adik bekas perdana menteri, Najib.