Tiada pilihan raya umum baru, kata Patriot

Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji.

PETALING JAYA: Kumpulan veteran tentera yang dikenali sebagai Patriot menolak gesaan supaya diadakan pilihan raya umum baru susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Presidennya, Mohamed Arshad Raji juga memberikan sokongan kepada bekas pakatan pemerintah yang terkubur selepas pengunduran PPBM dan beberapa ahli Parlimen yang selari dengan pemimpin PKR Azmin Ali yang dipecat.

Beliau mendakwa PH yang kini terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, adalah “kumpulan paling bersatu” dan menikmati majoriti.

“Patriot merayu ahli Parlimen dari PPBM, Warisan dan Gabungan Parti Sarawak, mereka yang mempunyai prinsip, bergabung dengan PH dan membantu membentuk kerajaan,” katanya, sambil menambah Dr Mahathir Mohamad harus mengetuai gabungan baru itu sementara waktu.

Patriot juga berkata ia menolak pilihan raya, dan menyelar mereka yang menggesanya sebagai “tidak bijak dan mementingkan diri sendiri”.

“Pilihan raya umum pada masa ini akan menjadikan ekonomi kita hilang kawalan dan mempercepatkan kemelesetan ekonomi,” katanya.

“Kerajaan mesti dibentuk dengan segera dan PH harus diberi peluang untuk memimpin semula. Umno yang sabotaj ekonomi kita dan hampir menyebabkan negara musnah tidak boleh dibenarkan memerintah lagi.”

Sejak semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertemu ahli Parlimen semua parti kerana beliau merangka penyelesaian bagi mengisi kekosongan kuasa di Putrajaya.

Agong hari ini akan menemubual baki 132 ahli Parlimen, susulan pertemuannya dengan 90 ahli Parlimen dari Barisan Nasional, GPS dan PAS semalam.

Ini berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada Isnin, yang menumbangkan kerajaan PH yang berusia 2 tahun yang berkuasa selepas pilihan raya umum 2018.

Mahathir kini merupakan menteri perdana interim sementara menunggu pembentukan blok baru yang mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat.