Timbalan menteri kesihatan Iran dijangkiti Covid-19

Iraj Harirchi (kiri) kadangkala batuk dan asyik berpeluh pada sidang media di Tehran pada Isnin bersama jurucakap kerajaan, Ali Rabiei. (Gambar AP)

TEHRAN: Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Iraj Harirchi dijangkiti virus Covid-19, kata seorang pegawai kementerian pada Selasa ketika wabak itu terus menular di negara Islam itu.

Harirchi kadangkala batuk dan asyik berpeluh ketika menghadiri sidang media di Tehran pada Isnin bersama jurucakap kerajaan, Ali Rabiei.

Pada sidang media itu, Harirchi menafikan dakwaan seorang penggubal undang-undang yang 50 pesakit meninggal dunia akibat dijangkiti virus itu di bandar Qom.

Katanya, beliau akan “letak jawatan” jika statistik itu terbukti betul.

Timbalan menteri itu mengaku dirinya dijangkiti Covid-19 dalam satu rakaman video yang disiarkan televisyen kerajaan.

“Saya turut dijangkiti koronavirus,” kata Harirchi dalam video yang dirakam sendiri.

“Saya demam semalam dan ujian awal menunjukkan saya positif sekitar tengah malam.

“Saya mengasingkan diri di sebuah lokasi sejak itu. Beberapa minit lalu, saya diberitahu ujian saya itu muktamad dan kini saya mula mengambil ubat.”

Terbaru, Iran melaporkan 4 lagi kematian baru daripada 44 kes baru dalam tempoh 24 jam, menjadikan keseluruhan 19 orang meninggal dunia akibat Covid-19 dan 139 kes jangkitan baru.

Sebanyak 15 kes baru Covid-19 berlaku di bandar Syiah Qom, 9 di Gilan, 4 di Tehran, 3 di Khuzestan, masing-masing 2 di Sistan dan Baluchistan, Kohgiluyeh dan Boyerahmad serta Fars, serta 1 kes di Markazi, Kermanshah, Ardebil, Mazandaran, Lorestan, Semnan dan Hormozgan.

Walaupun menjadi pusat penularan Covid-19 di Iran, pihak berkuasa belum mewajibkan kuarantin di Qom.