Arab Saudi gantung kemasukan jemaah umrah akibat Covid-19

Ibadah umrah menarik puluhan ribu umat Islam dari seluruh dunia setiap bulan ke Arab Saudi. (Gambar AP)

RIYADH: Arab Saudi pada Khamis menggantung visa bagi jemaah yang ingin berkunjung ke Mekah susulan kebimbangan Covid-19, kata Kementerian Luar.

Kerajaan “menggantung sementara kemasukan ke kerajaan ini bagi tujuan umrah dan melawat Masjid Nabi”, kata kementerian itu dalam satu kenyataan, merujuk kepada ibadah umrah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Ibadah umrah menarik puluhan ribu umat Islam dari seluruh dunia setiap bulan.

Kementerian Luar berkata ia juga menggantung visa pelancong dari negara di mana virus itu dikategorikan sebagai “bahaya”.

Walaupun jumlah kes baru menurun di China, terdapat peningkatan mendadak di bahagian Asia, Eropah dan Timur Tengah.

Iran muncul sebagai lokasi utama di rantau ini, di mana 15 orang meninggal dunia akibat virus tersebut.

Kuwait dan Bahrain juga mengumumkan pertambahan kes minggu ini.