Bubar Parlimen, seru Najib

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menyeru pembubaran Parlimen di sebalik kemelut politik negara dalam menentukan majoriti bagi membentuk kerajaan baru.

Beliau berkata disebabkan perebutan kuasa, rakyat yang akan menjadi mangsa.

“Cukuplah. Kita tidak kemana-mana dengan krisis politik ini.

“Melainkan menghala kepada kebinasaan dan kemusnahan negara,” katanya menerusi Facebook.

Kemelut politik tanah air bermula pada Ahad lalu selepas munculnya plot untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan oleh PPBM, Umno, PAS dan PKR kem Azmin Ali.

Susulan itu, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatannya sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM kerana enggan bekerjasama dengan Umno. Beliau kini memegang jawatan perdana menteri interim.

Umno dan rakan sekutunya, PAS pula mendesak pilihan raya umum yang baru bagi menentukan kerajaan yang akan mengambil alih Putrajaya.

Semalam, menerusi siaran langsung di saluran kerajaan, Mahathir berkata beliau percaya penyelesaian kepada kemelut politik semasa adalah dengan membentuk kerajaan perpaduan.

Beliau juga meminta diberi peluang untuk membentuk kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti, sebaliknya memberi tumpuan kepada kepentingan negara.