Covid-19: Puluhan ribu jemaah terjejas selepas visa umrah digantung

KUALA LUMPUR: Kira-kira 15,000 hingga 20,000 jemaah Malaysia yang bakal berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah pada Mac dijangka terjejas berikutan pendaftaran visa dalam talian disekat sekitar tengah hari tadi.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji, Razali Mohd Sham berkata setakat ini, 3 negara iaitu Malaysia, Brunei, dan Singapura didapati disekat pendaftaran visa dalam talian.

Beliau berkata bakal jemaah yang gagal mendapatkan visa tidak akan dapat menunaikan ibadat berkenaan.

“Yang terjejas itu, kalau Mac sahaja dalam 15,000 hingga 20,000 jemaah. Pagi tadi visa boleh buat, cuma tengah hari sudah tidak boleh lagi,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama TV di pejabatnya hari ini.

Razali berkata kira-kira 3 petang tadi, beberapa penerbangan yang sepatutnya dinaiki oleh jemaah umrah dari Malaysia dibatalkan selepas menerima arahan daripada kerajaan Arab Saudi.

Terdahulu, Agensi Berita Saudi melaporkan, kerajaan Arab Saudi mengambil keputusan untuk menggantung sementara pengeluaran visa umrah sebagai usaha pencegahan berikutan penularan Covid-19.

Langkah berkenaan bagi memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap keselamatan penduduk dan setiap individu yang berhasrat mengunjungi Arab Saudi bagi tujuan mengerjakan umrah atau menziarahi Masjid Nabawi atau sekadar melancong.

“Prosedur ini hanya bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian semasa pihak berkuasa Arab Saudi,” jelas kenyataan itu.