DAP diselar kerana tolak cadangan kerajaan perpaduan Dr M

Pemimpin kanan PPBM Redzuan Yusof.

PETALING JAYA: Pemimpin kanan PPBM menyelar DAP selepas menolak cadangan Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk kerajaan yang tidak berpihak kepada mana-mana parti.

Merujuk kenyataan DAP yang dipetik Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin menerusi Facebook, Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Redzuan Yusof memberitahu FMT, parti itu menunjukkan ia tidak ikhlas dalam deklarasi sokongan awalnya terhadap Mahathir selepas cubaan menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Jika anda kata anda menyokong dan mempercayai Tun sebagai perdana menteri, maka anda mesti mempercayai keputusannya,” katanya.

Yeo berkata partinya menolak idea kerajaan perpaduan kerana ia bermakna Mahathir boleh membuat keputusan komposisi Kabinet persekutuan tanpa berunding dengan mana-mana parti.

Redzuan berkata penubuhan kerajaan perpaduan bertujuan memastikan Mahathir dapat memilih ahli Parlimen yang paling mampu untuk menjadi sebahagian pentadbiran yang boleh meningkatkan ekonomi dan mengatasi cabaran seperti wabak Covid-19.

“Kerajaan perpaduan bukan mengenai DAP atau PPBM atau Yeo atau saya sendiri. Ini mengenai apa yang terbaik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata Mahathir perlu diberikan sokongan yang diperlukan jika beliau dilantik semula sebagai perdana menteri.

“Komposisi Kabinet adalah prerogatif perdana menteri.

“Saya sendiri tidak dijamin akan dilantik semula ke Kabinet di bawah kerajaan perpaduan, tetapi itu tidak penting. Apa yang penting ialah Tun tidak disekat atau dihalang dalam mentadbirkan negara.”

Redzuan mendakwa Pakatan Harapan memenangi pilihan raya lalu hanya kerana rakyat percayakan Mahathir dan mahu beliau memimpin negara.

Beliau mendakwa DAP enggan mempertimbangkan apa yang paling penting bagi negara.

Semalam, Mahathir yang kini perdana menteri interim, berkata beliau percaya penyelesaian kepada kemelut politik semasa adalah dengan membentuk kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

Mahathir berkata banyak ahli politik dan parti politik tertumpu kepada politik di mana mereka lupa negara menghadapi cabaran ekonomi dan juga krisis kesihatan awam.

Beliau meminta diberi peluang untuk membentuk pentadbiran yang tidak berpihak kepada mana-mana parti, sebaliknya memberi tumpuan kepada kepentingan negara.