Dr M ke Istana ketika kerajaan perpaduan dilihat atasi blok partisan

Dr Mahathir Mohamad seperti akan mencipta sejarah walaupun selepas pakatan yang diketuainya tumbang.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 11 pagi ini, sehari selepas perutusannya di saluran rasmi di mana beliau memohon maaf atas peletakan jawatannya awal minggu ini yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Seorang sumber berkata Mahathir, yang pernah menjawat perdana menteri 2 kali dan kini memimpin pentadbiran di tengah-tengah kekosongan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sudah mencapai majoriti yang diperlukan, kali ini terdiri daripada “kawan lama dan baru, dan musuh lama dan baru”.

“Kita tahu kesimpulannya beliau ada bilangan sokongan yang cukup,” kata sumber yang mahu namanya dirahsiakan kepada FMT.

“Cuma satu masalah yang beliau hadapi sekarang ialah mengukuhkan kedudukan, dan itu hanya boleh berlaku sekiranya ahli-ahli Parlimen termasuk bekas ahli Kabinetnya buang kesetiaan masing-masing pada parti,” tambahnya.

Perjalanan Mahathir ke Istana Negara hari ini mungkin satu lagi peristiwa bersejarah dalam politik Malaysia sekiranya beliau mengangkat sumpah sebagai ketua kerajaan baru.

Hanya 2 tahun lalu, beliau kembali ke kekuasaan 15 tahun selepas berundur daripada pemerintahan 2 dekad, yang menyaksikan antara transformasi politik dan ekonomi paling meriah sejak kemerdekaan.

Semalam, Mahathir merayu kepada rakyat supaya beri beliau peluang untuk menghimpunkan ahli-ahli Parlimen dari semua pihak dan bentuk kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

“Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

“Jika diizin inilah yang akan saya cuba,” katanya membacakan kenyataan 18 perkara.

Seorang sumber berkata cadangan Mahathir itu dilihat sebagai “terlalu revolusi” untuk lapangan politik Malaysia yang berpecah belah.

“Tetapi ia juga satu kompromi antara sebuah kerajaan dengan sokongan majoriti bukan Melayu seperti yang diwakili Pakatan Harapan, dan kerajaan yang hampir keseluruhanya terdiri daripada orang Melayu,” katanya.

Sekilas blok PKR semasa yang menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri mendedahkan komposisi ahli-ahli Parlimen yang “boleh menjadi bom jangka politik”, kata sumber kepada FMT.

Beliau merujuk kepada sokongan yang diperoleh Anwar semalam semasa Agong menemubual ahli-ahli Parlimen.

Daripada 92 ahli Parlimen dari DAP, PKR, dan Amanah, seramai 59 orang, atau 2/3, bukan Islam, manakala hanya 33 orang Islam, termasuk satu-satunya ahli Parlimen DAP berketurunan Melayu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Pada masa sama, pakatan yang dicadangkan ahli-ahli Parlimen dari Umno, PAS, dan PPBM hampir keseluruhannya Melayu.

“Sebab itu persatuan-persatuan sivil terima hujah mencadangkan kompromi, iaitu gabungan yang tidak berpihak,” kata sumber itu.

Sokongan kepada kerajaan perpaduan tidak berpihak yang dicadangkan Mahathir juga disuarakan Ambiga Sreenevasan, bekas pengerusi Bersih 2.0.

Walaupun dikritik rakan-rakannya dari persatuan-persatuan sivil, Ambiga, yang mengetuai beberapa tunjuk perasaan besar mendesak reformasi politik, berkata kerajaan perpaduan boleh segera memberikan kestabilan dan lebih murah berbanding pilihan raya kilat.

“Kita perlukannya! Semua orang perlu bekerjasama demi kepentingan rakyat,” katanya di Twitter.

Pendiriannya tidak sama dengan pandangan kepimpinan Bersih sekarang.

Pada Selasa, kumpulan itu berkata kerajaan perpaduan bertentangan dengan semangat demokrasi, dan boleh menjejaskan pembangkang.

Tetapi Ambiga berkata konsep itu tidaklah asing, memberikan contoh Indonesia di mana Presiden Joko Widodo baru-baru ini melantik pesaingnya ke Kabinet.