Guan Eng dedah kata-kata Dr M selepas PH tumbang

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

PETALING JAYA: Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng hari ini berkata Dr Mahathir Mohamad menolak untuk memenuhi manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH), ketika pertemuan mereka selepas tumbangnya gabungan pemerintah itu.

“Dalam perbincangan saya dengan Tun Dr Mahathir pada 25 Feb 2020 di Pejabat Perdana Menteri, beliau menolak untuk kekal sebagai perdana menteri PH dan menolak untuk terus memenuhi janji-janji manifesto pilihan Raya umum PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa jam selepas Mahathir meletak jawatan pada 24 Feb, Lim berkata DAP akan mencalonkan semula pemimpin veteran itu.

Beliau kemudian memuji Mahathir kerana enggan bekerjasama dengan pemimpin Umno yang terlibat dalam skandal rasuah.

“Ini kali pertama perdana menteri Malaysia bersedia meletak jawatan untuk menegakkan integriti dan memerangi rasuah,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan Mahathir enggan menghadiri mesyuarat dengan pimpinan tertinggi PH. Akibatnya, ahli Parlimen PH kemudiannya diarah untuk mencalonkan Anwar Ibrahim semasa menghadap Agong semalam.

Lim berkata manifesto pilihan raya mencapai titik persamaan oleh PH walaupun mempunyai ideologi dan aspirasi berbeza dari keempat-empat parti gabungan itu.

Lim berkata PH bekerja keras untuk memenuhi manifesto pilihan raya 2018 secara berperingkat.

Antaranya, kata Lim, gabungan itu memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pengurangan kadar tol.