Jemaah wanita cedera disamun 2 lelaki guna cangkul, besi

CCTV perkarangan Masjid An-Nur Kampung Guar berjaya merakam wajah suspek yang menyamun jemaah wanita. (Gambar Facebook)

BUKIT MERTAJAM: Seorang jemaah wanita mengalami kecederaan di belakang badan selepas dipukul 2 lelaki yang menggunakan cangkul dan besi dalam kejadian samun di Masjid An-Nur Kampung Guar, Jalan Guar Jering di Kubang Semang, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Mohd Mustafa Bidin berkata dalam kejadian pukul 3 petang itu, mangsa berusia 65 tahun bersama 2 lagi jemaah wanita baru selesai kelas mengaji di masjid tersebut sebelum 2 lelaki meluru masuk ke bahagian ruang solat wanita.

“Seorang dari lelaki itu menghampiri mangsa sebelum terus meragut rantai emas dan menyebabkan warga emas itu menjerit meminta tolong, namun suspek memukul belakang badan wanita tersebut menggunakan sebatang besi.

“Manakala seorang lagi suspek yang membawa cangkul bertindak mengacu objek itu ke arah mangsa dan 2 lagi wanita yang turut berada di situ, sebelum 2 lelaki itu mengambil beg solat yang mengandungi telefon bimbit, beg duit, telekung dan kitab milik 3 jemaah tersebut,” katanya hari ini.

Menurutnya, 2 lelaki itu kemudiannnya melarikan diri dengan sebuah motosikal dan kamera litar tertutup yang terdapat di perkarangan masjid tersebut berjaya merakam wajah suspek berkenaan.

Beliau berkata usaha mengesan 2 lelaki itu giat dijalankan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun yang sama.