Kerajaan baru di Johor hasil perbincangan dengan PPBM pusat, kata MB

Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal

JOHOR BAHRU: Keputusan untuk membentuk kerajaan “gabungan baru” di Johor berdasarkan hasil perbincangan dengan pucuk pimpinan PPBM pusat termasuk Presiden Muhyiddin Yassin.

Pada sidang media pertama sejak PPBM keluar Pakatan Harapan (PH) pada 24 Feb, Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal berkata gabungan baru yang belum diberi nama itu akan merangkumi Umno, MIC, MCA, PAS dan beberapa Adun parti lain.

“Keputusan dibuat berdasarkan hasil perbincangan dengan pucuk pimpinan PPBM pusat termasuk Muhyiddin,” katanya ketika ditanya mengapa PPBM Johor memilih untuk bersama Umno sedangkan PPBM Kedah memutuskan kekal bekerjasama dengan PH.

Ketika ditanya bila kerajaan negeri “gabungan baru” dapat dibentuk, beliau berkata seawal-awalnya akhir minggu ini.

“Kami akan bincangkan senarai nama calon menteri besar untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor…kami sedang tunggu tarikh untuk menghadap,” katanya.

Terdahulu hari ini, Istana Johor mengesahkan kerajaan negeri “gabungan baru” daripada parti-parti termasuk PPBM dan Umno akan ditubuhkan di Johor.

Ini susulan kedudukan kerajaan PH di Johor sebelum ini yang hilang majoriti kerana tindakan PPBM keluar PH Isnin lepas, mewujudkan situasi kerajaan negeri yang tergantung.

Menurut kenyataan setiausaha sulit kepada Sultan Johor, Jaba Mohd Noah, pewujudan gabungan baru itu dimaklumkan bersama Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammad pada majlis menghadap Sultan Ibrahim semalam.

Semalam, selepas pertemuan dengan 54 Adun Johor, Sultan Johor berpuas hati gabungan baru memperoleh majoriti mudah iaitu 28 Adun berbanding 26 Adun memilih PH.

Daripada 56 Adun itu, Adun Simpang Jeramm Salahuddin Ayub dan Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang tidak dapat hadir.