Pengurangan kadar caruman beri kesan kepada ahli bawah 60, kata KWSP

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengurangkan kadar caruman minimum berkanun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja sebanyak 4% akan memberi kesan kepada ahli yang berumur bawah 60 tahun.

Dalam kenyataan hari ini, KWSP berkata untuk mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, bahagian caruman pekerja kekal pada kadar 0%.

“Pekerja boleh memilih untuk mengekalkan kadar caruman bahagian pekerja pada kadar 11% dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun KWSP 17A (Khas) yang boleh diperoleh melalui laman sesawang kwsp.gov.my.

“Notis itu perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada KWSP,” katanya.

Pengurangan kadar caruman daripada 11% kepada 7% sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi kerajaan bertujuan mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang berpunca daripada penularan global Covid-19.

Kadar baru itu akan berkuat kuasa 1 April 2020 sehingga akhir tahun ini.

Pakej rangsangan ekonomi itu dilancarkan Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini.