Putrajaya umum pakej rangsangan ekonomi RM20 bilion

Dr Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA: Putrajaya mengumumkan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM20 bilion bagi menangani impak negatif akibat penularan wabak Covid-19.

Pengumuman itu dibuat oleh perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad pada sidang media hari ini.

“Ini bagi memastikan risiko penularan wabak ini dapat ditangani dengan berkesan.

“Dalam masa yang sama, beberapa rancangan dan strategi akan dilaksanakan untuk pastikan ekonomi negara atas landasan yang mampan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Setiusaha Negara, Zuki Ali dan Ketua Setiusaha Perbendaharaan, Ahmad Badli

Pakej rangsangan ekonomi itu dijangka akan membantu sektor pelancongan, pembuatan, pembinaan dan pelaburan domestik, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pelaburan langsung asing.

Ia juga bagi mempersiapkan industri terjejas terhadap lantunan ekonomi yang diramalkan berlaku selepas krisis kesihatan antarabangsa itu reda.

Dalam pada itu, Mahathir mengumumkan elaun khas kepada pegawai perubatan dan petugas kesihatan sebagai jentera barisan depan dalam usaha memerangi wabak itu.

Mahathir mengumunkan elaun sebanyak RM400 sebulan akan diberikan berkuatkuasa bulan ini sehingga penularan wabak berjaya ditangani sepenuhnya.

“Sehingga ini, Kementerian Kesihatan membelanjakan sebanyak RM150 juta bagi pembelian peralatan, ubat dan barangan guna pakai dalam usaha pengawalan wabak Covid-19.

“Kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan wabak Covid-19 dapat diuruskan dengan baik dan terkawal,” katanya.

Tambahnya, elaun khas sebanyak RM200 sebulan juga akan diberikan kepada kakitangan Imigresen dan agensi yang terlibat dalam usaha membasmi penularan wabak itu.

Ujarnya lagi, kerajaan maklum mengenai kadar ketibaan pelancong yang berkurangan menyebabkan impak negatif kepada rakyat yang mencari sumber pendapatan melalui sektor pelancongan.

Atas sebab itu, beliau berkata kerajaan akan memberikan bayaran “one-off” sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran, pemandu pelancong dan penarik beca.