Tiada majoriti ketara, penentuan di Dewan Rakyat, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata perdana menteri seterusnya mungkin ditentukan pada sidang Dewan Rakyat bulan depan, kerana tiada majoriti ketara untuk menubuhkan kerajaan baru.

“Seri Paduka minta semua ahli Parlimen beri kenyataan kerana mereka buat akuan berkanun tetapi baginda tidak pasti jadi baginda mahu mereka buat kenyataan di hadapan baginda.

“Hasilnya ialah Seri Paduka mendapati tiada siapa yang mempunyai majoriti ketara,” kata perdana menteri sementara kepada pemberita selepas mengumumkan pakej rangsangan ekonomi di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Mahathir berkata cara terbaik untuk menyelesaikan kedudukan itu pada sesi khas Dewan Rakyat pada 2 Mac ini.

“Pilihan raya mengejut akan diadakan sekiranya sesi Parlimen khas 2 Mac ini gagal mencapai majoriti sewajarnya untuk memilih PM,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pembentukan kerajaan “yang tidak memihak kepada mana-mana parti”, beliau berkata sesiapa sahaja berhak menjadi calon PM termasuk ahli Parlimen bebas.

“Jika mereka layak, mereka boleh dipilih,” katanya.

Jelasnya, sesiapa yang dipilih boleh melantik ahli Kabinet tanpa terikat dengan mana-mana parti politik.

Setakat ini, Umno, PAS dan PBRS menolak cadangan kerajaan perpaduan, menyeru Parlimen dibubarkan bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum untuk menentukan kerajaan baru.