Umno panggil ketua bahagian seluruh negara bincang isu bubar Parlimen

Setiauasaha Agung Umno, Annuar Musa.

PETALING JAYA: Umno hari ini memanggil semua ketua bahagian akar umbi parti itu dari seluruh negara menerusi satu mesyuarat tergempar petang ini.

Arahan itu dikeluarkan Setiauasaha Agungnya, Annuar Musa.

“Hari ini semua ketua Umno bahagian seluruh negara dipanggil serta-merta ke Kuala Lumpur untuk satu pertemuan khas bersama presiden dan Majlis Kepimpinan Tertinggi Umno, jam 3 petang di PWTC,” kata Annuar menerusi Facebook, hari ini.

Sementara itu, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno yang enggan dinamakan, mengesahkan perkara itu, sambil memaklumkan mesyuarat tergempar tersebut dibuat bagi membincangkan isu terbaru politik tanah air, termasuk kemungkinan pembubaran Parlimen.

“Perjumpaan untuk kemungkinan bubar dan semua ketua bahagian kena bersedia sebab pendirian Muafakat Nasional minta bubar Parlimen,” katanya kepada FMT.

PAS, BN dan PBRS sebelum ini sebulat suara mahu Parlimen dibubarkan dan menggesa pilihan raya umum diadakan.

Annuar ketika sidang media pada Selasa berkata, keputusan itu dibuat selepas Barisan Nasional dan PAS menolak kerajaan perpaduan yang dicadangkan Dr Mahathir Mohamad.

Keputusan itu dibuat selepas ahli Parlimen pembangkang menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.

Semalam, Pakatan Harapan yang kini terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah sebulat suara menamakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-8 selepas gabungan parti itu menghadap Agong semalam.