2 anggota PGA antara 3 ditahan samun penduduk pulau di Sabah

Ketua Polis Sabah Zaini Jass. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Tiga lelaki termasuk 2 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan kerana menyamun penduduk di sebuah pulau di Pitas, daerah terpencil di utara Sabah.

Suspek yang berusia antara 38 dan 64 tahun itu pergi ke Pulau Lundayan menaiki bot pada jam 10 pagi semalam. Salah seorang daripada mereka bersenjatakan senapang M16.

Difahamkan suspek melepaskan beberapa das tembakan ke udara dan air ketika bot mereka menghampiri pulau tersebut.

Suspek kemudian mengarahkan semua penduduk keluar dari rumah mereka.

Mereka juga menyerang beberapa penduduk sebelum memberitahu 2 penduduk supaya membeli syabu atau methamphetamine, di sebuah pulau berdekatan.

Menurut sumber, suspek juga memaksa penduduk menyerahkan petrol dari bot masing-masing kepada mereka.

Sebelum meninggalkan lokasi kejadian, suspek mengambil jam tangan, wang tunai, telefon bimbit, barangan runcit dan kira-kira 100kg ikan kering.

Difahamkan seorang mangsa yang menaiki bot membuat laporan di pangkalan polis Kanibongan selepas suspek meninggalkan lokasi kejadian.

Ketua Polis Sabah Zaini Jass mengesahkan suspek telah ditahan.

“Salah seorang daripada mereka adalah orang awam manakala selebihnya adalah anggota PGA. Kami menahan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.