2 bekas KPN ke Istana Negara ketika sultan cari jalan atasi kemelut politik

Hanif Omar di luar pintu Istana Negara hari ini untuk menyerahkan memorandum MPM kepada Majlis Raja-raja Melayu.

KUALA LUMPUR: Dua bekas ketua polis negara dan seorang bekas yang di-pertua Dewan Negara ke Istana Negara hari ini, ketika Majlis Raja-raja Melayu mengadakan mesyuarat untuk mencari penyelesaian terhadap kemelut politik selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Bekas ketua polis negara, Hanif Omar dan Musa Hassan serta bekas yang dipertua Dewan Negara, Abu Zahar Ujang dibenarkan memasuki Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu.

Hanif yang berkhidmat sebagai ketua polis negara selama 20 tahun dari 1974 hingga 1994, ke istana atas kapasitinya sebagai penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Sumber memberitahu FMT, memorandum itu menggesa raja Melayu memastikan ahli politik yang tiada rekod rasuah atau skandal sejak 3 dekad lalu dilantik menganggotai kerajaan baru.

Ini menyusul cadangan Perdana Menteri sementara, Dr Mahathir Mohamad menubuhkan kerajaan perpaduan ketika beberapa blok politik menghadap Agong bagi meyakinkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mereka mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk Kabinet di peringkat persekutuan.

Yusoff Rawther, bekas pembantu penyelidik Anwar Ibrahim yang membuat laporan serangan seksual terhadap presiden PKR itu, dilihat hadir bersama Hanif Omar di luar Istana Negara hari ini.

Kerajaan PH tumbang selepas Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin lalu.

Agong menemubual 220 ahli Parlimen secara individu pada Selasa dan Rabu lalu untuk mengetahui siapa yang patut menubuhkan kerajaan baru.