Agong akan panggil ketua parti selepas tiada majoriti ketara

PETALING JAYA: Agong akan memanggil ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka untuk kemuka pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini berkata selepas proses temu bual ahli Parlimen pada 25 dan 26 Feb, Sultan Abdullah masih belum yakin “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baru”.

Mengenai mesyuarat khas Dewan Rakyat yang disebut Perdana Menteri Sementara Dr Mahathir Mohamad semalam, Agong bersetuju dengan keputusan speaker untuk tidak memanggil mesyuarat itu pada 2 Mac ini.

“Seri Paduka Baginda seterusnya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara yang kita cintai bersama,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.