‘Beli’ rakyat, bukan wakil rakyat, Hadi tegas pilihan raya cara terbaik

Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang bertegas pilihan raya cara terbaik menentukan majoriti di Dewan Rakyat bagi penubuhan kerajaan baru, ketika diminta mengulas dakwaan ada pihak cuba “beli” sokongan ahli-ahli Parlimen.

Katanya, kecelaruan politik sekarang menyebabkan hal itu patut diserahkan kepada rakyat.

“Kalau nak beli, ‘beli’ rakyat, jangan beli wakil rakyat,” katanya kepada pemberita pada satu majlis di Terengganu hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Sementara, Dr Mahathir Mohamad berkata perdana menteri seterusnya mungkin perlu ditentukan pada sidang Dewan Rakyat bulan depan, kerana selepas para ahli Parlimen ditemubual, Agong mendapati tiada siapa mempunyai majoriti ketara untuk menubuhkan kerajaan baru.

PAS, Barisan Nasional dan PBRS sebelum menyeru Parlimen dibubarkan bagi membuka laluan kepada pilihan raya.

Hadi hari ini mengulangi seruan pilihan raya mesti diadakan semula.

“Balik kepada rakyat,” katanya.

Hadi juga menjelaskan kenapa parti Islam itu tidak meneruskan usul undi percaya menyokong Mahathir, kerana tidak ramai menyokong langkah itu.

“Umno pun tak sokong, tidak ada makna kita sokong, sebab itu serah balik kepada rakyat,” katanya.

Hadi berkata PAS bersedia “bila-bila masa” untuk pilihan raya.