Dipecat, diketepikan, jatuh sakit – kini Muhyiddin hampir pasti jadi ‘PM8’

Muhyiddin Yassin berkemungkinan menjadi perdana menteri ke-8 selepas vakum politik yang berlarutan selama seminggu.

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin hampir pasti menjadi perdana menteri ke-8, susulan pertemuan oleh 36 ahli Parlimen PPBM hari ini bagi mencalonkan namanya untuk jawatan tertinggi itu selepas Istana Negara mengumumkan ia akan bertemu ketua pimpinan parti politik sebelum membuat keputusan.

Mesyuarat hari ini juga dihadiri 10 ahli Parlimen terbaru PPBM – kumpulan ahli Parlimen PKR yang keluar parti susulan pemecatan timbalan presiden Mohamed Azmin Ali.

Kira-kira 1 jam kemudian, PAS dan Umno mengesahkan semua 57 ahli Parlimen mereka akan menyokong presiden PPBM itu. Setiausaha Agung Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan mengesahkan sokongan itu dalam kenyataan ringkas.

Perkembangan terbaru ini nampak seperti tamparan kepada cita-cita Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang mahu menjadi perdana menteri.

FMT difahamkan keputusan untuk mencalonkan Muhyiddin itu mendapat restu Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad, walaupun pada awalnya berselisih dengan presiden PPBM tentang kemungkinan beberapa pemimpin Umno akan diberi jawatan kanan dalam kerajaan gabungan baru.

“Keputusan hari ini menamatkan perang dingin antara Tun (Mahathir) dan Muhyiddin,” kata sumber yang dekat dengan kumpulan dalaman parti itu.

FMT sebelum ini melaporkan Mahathir tidak gembira dengan rancangan melantik Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sekiranya PPBM berganding dengan ahli Parlimen Umno bagi membentuk kerajaan gabungan baru.

“Kedudukan saya adalah saya tidak akan menerima Umno, tetapi saya akan menerima mereka yang meninggalkan Umno. “Tetapi Muhyiddin bersedia menerima mereka,” kata Mahathir kepada pemberita semalam.

Pemimpin veteran itu berkata beliau akan menentang sebarang rancangan untuk membawa masuk mana-mana orang yang dikenakan pertuduhan rasuah ke dalam gabungan baru itu.

Zahid ketika ini berdepan puluhan pertuduhan rasuah melibatkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, yayasan amalnya.

Seorang pemimpin penting dalam PPBM enggan mengulas ketika ditanya adakah ahli Parlimen Umno akan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri sekiranya presiden parti mereka tidak diberi jawatan nombor 2.

“Syarat mereka asalkan ‘tiada DAP dan Anwar’,” katanya dengan syarat namanya dirahsiakan.

Kedua-dua Muhyiddin dan Zahid sebahagian daripada pentadbhiran Najib Razak.

Susulan perselisihan antara Muhyiddin dan Najib di kemuncak saga 1MDB pada 2015, Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Selepas 3 tahun tanpa hala tuju politik, Muhyiddin kembali selepas memenangi kerusi Pagoh pada pilihan raya Mei 2018 yang bersejarah yang menyaksikan Barisan Nasional tumbang.

Tetapi beliau tidak dapat menjalankan tugas-tugas barunya sebagai menteri dalam negeri seleaps diagnos dengan ketumbuhan di pankreas. Beliau menjalani pembedahan di Singapura, selepas beliau menjalani rawatan kemoterapi selama 6 bulan.

Muhyiddin, 73, antara ahli politik paling kanan di Malaysia, menyertai politik pada usia awal 20-an. Beliau meningkat naik dalam Umno Johor dengan cepat. Pada 1986, beliau dilantik sebagai menteri besar Johor, pada ketika Mahathir sangat berkuasa di peringkat persekutuan.

Beliau dilihat rapat dengan Anwar semasa Anwar menjadi ketua Pemuda Umno.

Muhyiddin menyokong Anwar menaiki tangga politik, sehinggalah pemecatan dramatik pada 1998 oleh Mahathir berkaitan dakwaan salahlaku seks dan salah guna kuasa. Buat seketika Muhyiddin bersimpati dengan Anwar, tetapi segera menurut pendirian parti.

Ia diikuti dengan kebangkitannya dalam kerajaan persekutuan, sehinggalah beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri yang menyaksikan beliau bersatu dengan sekutu lamanya, Anwar dalam Pakatan Harapan.