Kerajaan baru tanpa sokongan parti Melayu tak tahan lama, kata MTEM

Kanak-kanak di Kampung Baru berbasikal ke sekolah. MTEM berkata, kerajaan baru perlu mengambil kira jurang ekonomi dan orang Melayu yang merupakan golongan terbanyak dalam kemiskinan relatif dan terendah dalam penguasaan ekonomi.

PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan yang mewakili 50 NGO ekonomi Melayu memberi amaran penubuhan kerajaan baru tanpa sokongan daripada parti berasaskan orang Melayu tidak akan bertahan lama dan menyebabkan pergolakan politik berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, sokongan orang Melayu semakin merosot terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang sudah tumbang akibat persepsi, tindakan dan kenyataan yang tidak mementingkan Bumiputera dalam pelbagai aspek.

“Sebagai contoh kenyataan sebahagian kepimpinan kerajaan yang mahu polisi berasaskan kaum dihentikan tanpa melihat kepada data ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kenyataan ini tidak berpijak di bumi nyata, walaupun realitinya Bumiputera bukan hanya terbanyak dalam kemiskinan relatif, tetapi juga terendah dalam penguasaan ekonomi.

“Oleh itu, apa-apa kerajaan jua yang akan ditubuhkan, sama ada melalui proses pilihan raya baru atau proses ditentukan oleh Parlimen sedia ada, jika diketepikan kemelesetan rakyat dan kesenjangan ekonomi termasuklah ekonomi Bumiputera, sudah tentu kerajaan itu tidak akan bertahan.”

Beliau berkata, pembubaran Parlimen tidak akan membawa kesan positif diharapkan, sebaliknya negara akan berdepan perpecahan politik berlanjutan.

“Kerajaan perlu berbelanja untuk merangsang ekonomi dan bukannya untuk melalui pilihan raya umum sebelum tiba masanya.”

Kerajaan PH tumbang selepas peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada Isnin lalu.

Semalam, Mahathir yang dilantik sebagai perdana menteri sementara dilaporkan berkata, Dewan Rakyat akan bersidang pada 2 Mac ini untuk memilih perdana menteri ke-8 kerana tiada majoriti ketara untuk menubuhkan kerajaan baru.

Katanya, pilihan raya mengejut akan diadakan jika Dewan Rakyat gagal mencapai majoriti sewajarnya untuk memilih perdana menteri baru.

Barisan Nasional dan PAS mahu Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum, tetapi PH yang dianggotai PKR, DAP serta Amanah mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-8.

Kira-kira 2/3 ahli Parlimen PH terdiri daripada orang bukan Melayu.

Daripada 92 ahli Parlimen DAP, PKR dan Amanah, 59 ialah bukan Melayu dan hanya 33 ialah Melayu/Islam, termasuk Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang merupakan satu-satunya ahli Parlimen Melayu dalam DAP.

Yazid berkata, krisis politik yang tercetus ketika ekonomi dunia tidak memberangsangkan ditambah dengan penularan wabak Covid-19 akan membantutkan perancangan memulihkan ekonomi negara.

Oleh itu, katanya, MTEM menyokong cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan untuk menstabilkan keadaan ekonomi negara.

“Kita juga menyokong kepimpinan kredibel, profesional dan teknikal diletakkan dalam Kabinet baru. Kita berharap kerajaan yang akan dibentuk bukan saja kompeten, tetapi dibarisi mereka yang cakna dan lebih peduli dengan permasalahan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera yang masih di belakang.

“Apa-apa strategi perancangan ekonomi seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 perlu diisi dengan tindakan bermakna (dengan segera) dan dipandu oleh mereka yang ikhlas ingin membangunkan ekonomi negara, jika tidak ia menjadi sebuah lagi slogan retorik semata mata.

“Kami memohon Yang di-Pertuan Agong dipandu oleh Majlis Raja-raja akan membuat keputusan terbaik dan juga dapat menasihati Dewan Rakyat yang akan diberi peluang menentukan bentuk kerajaan seterusnya, demi agama bangsa dan tanah air sekaligus menghalang krisis politik ini berterusan lebih lama.”