PH percaya Anwar dapat pencalonan terbesar, mohon dibenar hadap Agong

PETALING JAYA: Pakatan Harapan percaya Anwar Ibrahim mendapat jumlah pencalonan terbesar dalam kalangan ahli Parlimen berdasarkan proses yang ditentukan Agong tempoh hari, dan memohon presiden PKR itu diberi peluang untuk menghadap Sultan Abdullah.

“Majlis Presiden percaya Anwar Ibrahim wajar diberi peluang menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan keyakinan majoriti ahli Parlimen terhadap beliau.

“Majlis Presiden meletakkan kepercayaan terhadap proses, budi bicara serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk mencari penyelesaian dalam proses pelantikan perdana menteri,” menurut kenyataan Majlis Presiden PH.

Terdahulu, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Agong akan memanggil ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka kemuka pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri.

Katanya, selepas proses temu bual ahli Parlimen pada 25 dan 26 Feb, Sultan Abdullah masih belum yakin “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baru”.