Wanita nekad balas dendam selepas dihina gemuk kini dinobat Ratu Cantik UK
Jen berjaya turunkan berat badan sebanyak 50kg, turun daripada 107kg kepada 57kg gara-gara dikutuk tunang kerana gemuk 3 tahun lalu.
Jangan sangka orang gemuk tidak boleh kurus, apa yang perlu hanyalah keazaman yang kuat untuk melakukan.
Inilah yang berlaku terhadap Jet Atkin apabila secara tiba-tiba tunangnya mahu memutuskan hubungan mereka 3 tahun lalu.
Alasan yang diberikan, kerana Jen terlalu gemuk.
Dan kini, Jen berjaya membalas kata-kata tunangnya sehingga menjadi Ratu Cantik United Kingdom.
Jen, 26, yang bekerja sebagai pentadbir di sebuah syarikat penerbangan dan menetap di Ulceby mula menjalani gaya hidup sihat selepas kejadian pahit dalam hidupnya itu.
Dia kemudiannya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 50kg, turun daripada 107kg kepada 57kg ketika ini.
Jen muncul pemenang Miss Scunthorpe, sebelum menduduki tempat kedua dalam pertandingan Miss England pada 2018.
Dia kemudiannya bersara daripada menyertai pertandingan namun ingin mencuba buat kali terakhir apabila namanya tersenarai dalam pertandingan Ratu Cantik United Kingdom ke-75.
Tuah memihak kepadanya apabila muncul sebagai pemenang dalam pertandingan yang diadakan di Leicester.
“Saya sangat terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang, tak boleh nak gambarkan perasaan saya sekarang.
“Pada mulanya saya hanya menyertai suka-suka. Tak sangka saya mampu pergi sejauh ini. Saya tak pernah terbayang langsung tentang ini 3 tahun lepas,” ujarnya.
Katanya lagi, dia mendapat ilham setelah melalui kisah duka akibat perbuatan bekas tunangnya.
“Saya menangis berminggu-minggu dan anggap hidup saya telah hancur.”
Kini, Jen telah berkahwin dengan kekasih baru dan menganggap kejayaannya ini ditujukan kepada bekas tunangnya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]