WHO tingkat amaran virus sedunia ke tahap maksimum

Wabak Covid-19 menular ke 9 negara baru dalam tempoh 24 jam lepas.

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat meningkatkan taksiran risiko sedunia kononavirus (Covid-19) ke tahap maksimum selepas wabak tersebut menular ke Afrika sub-Sahara dan pasaran kewangan merudum.

Wabak berkenaan merebak ke seluruh dunia sepanjang minggu lepas, setelah dikesan di seluruh benua melainkan Antartika, menyebabkan banyak kerajaan dan syarikat perniagaan berusaha menghalang orang ramai daripada berkumpul di khalayak atau mengadakan perjalanan.

Ia telah mengorbankan lebih 2,800 orang dan menjangkiti 84,000 yang lain di seluruh dunia, kebanyakannya di China, sejak ia dipercayai bermula dari sebuah pasar haiwan di bandar Wuhan di tengah negara itu Disember tahun lepas.

Penularannya dengan pantas ke zon baru menyebabkan pihak berkuasa bimbang – dalam tempoh 24 jam terakhir, ia menjangkiti 9 negara baru dari Azerbaijan ke Mexico dan New Zealand.

“Kita meningkatkan taksiran risiko penularan wabak dan risiko jangkitan Covid-19 ke tahap paling tinggi,” kata pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada pemberita.

“Kita belum melihat bukti bahawa virus itu merebak secara mudah dalam masyarakat. Jika itu keadaannya, kita masih mempunyai peluang untuk mengawalnya.”

Pelabur antarabangsa bagaimanapun semakin bimbang menyebabkan pasaran dunia mengalami minggu paling buruk sejak krisis kewangan 2008.

Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell berkata, bank pusat itu bersiap siaga untuk campur tangan jika perlu berdasarkan perkembangan risiko ke atas ekonomi terbesar dunia itu akibat virus berkenaan.

Beberapa langkah drastik telah pun diambil – Switzerland membatalkan semua perhimpunan melebihi 1,000 orang, sementara Arab Saudi melarang kemasukan penduduk negara-negara Selat daripada memasuki Mekah dan Madinah.

“Tidak perlu panik, tetapi kini masanya untuk bersiap sedia,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Antonio Guterres.

Langkah-langkah itu diambil sewaktu angka kematian dan jangkitan baru mula mengendur di China berikutan tindakan kuarantin besar-besaran yang dijalankan melibatkan puluhan juta orang di bandar-bandar yang paling teruk dijangkiti.

Namun begitu jangkitan baru mula dikesan di tempat lain, dengan Iran, Itali dan Korea Selatan menjadi titik panas baru sementara kes jangkitan disahkan di lebih 50 negara.

“Kita dapati beberapa negara berdepan masalah untuk mengawalnya,” kata ketua program kecemasan WHO Michael Ryan.

WHO menyuarakan kebimbangan mengenai kesediaan negara Afrika, dengan memberi amaran bahawa sistem kesihatan benua itu tidak bersedia untuk berdepan penularan Covid-19.

Kes baru dilaporkan di Mesir dan Algeria, tetapi tidak di rantau sub-Sahara sehingga Jumaat apabila Nigeria melaporkan kes pertamanya melibatkan seorang warga Itali yang tinggal di Lagos yang padat penduduk.

Di Iran, sumber tidak dinamakan memberitahu BBC sekurang-kurangnya 210 orang maut akibat koronavirus, jauh mengatasi angka rasmi 34 orang. Bagaimanapun jurucakap Kementerian Kesihatan menafikan angka tersebut.

Wabak itu memberi kesan ke atas semua perkara daripada pengeluaran dunia kepada sekolah dan acara sukan, dengan Fifa mengeluarkan amaran Jumaat bahawa pertandingan bola sepak di peringkat antarabangsa mungkin dibatalkan.

Banyak syarikat melaporkan wabak itu memberi kesan ke atas pendapatan mereka ekoran permintaan lebih rendah.

Harga minyak jatuh lagi dengan minyak Brent bagi April jatuh sehingga AS$50.05 satu tong.

Penganalisis memberi amaran bahawa China, ekonomi kedua terbesar dunia, akan mengalami kemerosotan besar dalam pertumbuhannya pada suku semasa kerana ia kini hampir lumpuh akibat kuarantin dan kawalan penyakit.

Bagaimanapun China menawarkan harapan bahawa wabak tersebut boleh dikawal.

Ia melaporkan 44 kematian baru pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan 2,788, dengan 327 kes baru – angka jangkitan terendah dalam tempoh lebih sebulan.

Virus tersebut membunuh kebanyakannya orang tua yang sedia berdepan masalah kesihatan.

Korea Selatan kini mempunyai kes terbanyak di luar China dengan lebih 2,000 jangkitan dan 13 kematian.

Di Jepun, Kementerian Kesihatannya berkata, seorang lelaki warga British yang berada di dalam kapal persiaran yang diserang wabak berkenaan dan dikuarantin berdekatatan Tokyo menemui ajal. Lebih 700 yang lain di atas kapal tersebut disahkan positif.

Di Eropah, Itali mengalami jangkitan paling tinggi sebanyak 650 kes dan 17 kematian, kebanyakannya di bandar di bahagian utara negara itu.

Pelbagai langkah diambil bagi menghalang penularan virus tersebut termasuk penutupan sekolah dan pembatalan acara sukan dan kebudayaan.

Pakar berkata, virus itu mungkin telah “menular selama beberapa minggu tanpa dikesan” sejak Januari sebelum kes pertama disahkan.