Ketika kuasa beralih dan Peguam Negara letak jawatan, Najib ikrar terus lawan di mahkamah

Najib Razak mahu melawan tuduhan terhadapnya di mahkamah, dan merayu liputan perbicaraan yang adil.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata peletakan jawatan Peguam Negara Tommy Thomas di sebalik jangkaan peralihan kuasa di Putrajaya tidak akan beri kesan padanya, sebaliknya beliau mahu melawan pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa terhadapnya di mahkamah.

Najib beritahu FMT beliau tidak mahu tuduhan terhadapnya digugurkan seperti dalam kes Lim Guan Eng, yang pertuduhan rasuah berkait pembelian sebuah banglo di Pulau Pinang gugur selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum 2018.

“Saya bukan Lim Guan Eng,” katanya, merujuk kepada bekas menteri kewangan.

Lim adalah ketua menteri Pulau Pinang apabila beliau dan seorang ahli perniagaan, Phang Li Khoon dituduh rasuah pada 2016. Beliau dituduh menyalahgunakan kedudukannya dalam meluluskan satu urus niaga tanah dan membeli sebuah banglo bawah harga pasaran daripada Phang.

Najib, yang meletakkan jawatan presiden Umno selepas parti itu tumbang dari kekuasaan, berharap akan dapat perbicaraan yang adil serta jaminan tidak akan ada campurtangan politik.

“Saya juga berharap perbicaraan saya akan dapat liputan yang adil di media dengan tajuk dan laporan yang tidak berat sebelah,” kata bekas pemimpin itu.

Najib berdepan 42 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berhubung transaksi melibatkan berbilion ringgit yang dikaitkan dengan 1MDB dan SRC International.

Beliau berkata demikian ketika bekas timbalannya, Muhyiddin Yassin, yang dipecat pada kemuncak saga 1MDB pada 2015, nampak seperti akan meraih sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Awal minggu ini, peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad menyebabkan perpecahan Pakatn Harapan, selepas beberapa ahli Parlimen keluar dan mencari sekutu baru.

Hari ini, beberapa hari selepas vakum politik di Putrajaya, parti-parti politik mengisytiharkan sokongan kepada Muhyiddin.

Selain partinya, Barisan Nasional yang didominasi Umno dan PAS mengesahkan sokongan kepada Muhyiddin. Gabungan pemerintah di Sarawak, GPS dan Warisan di Sabah juga dijangka menamakan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Sementara itu, Najib berkata beliau bersedia untuk melawan di mahkamah “untuk membuktikan apa yang saya lakukan sentiasa memikirkan kepentingan terbaik negara.”

Beliau berkata kenyataan Mahathir baru-baru ini membuktikan beliau betul tentang keadaan kewangan negara.

“Mahathir berkata kita ada simpanan RM2 trilion. Daripada jumlah itu, RM1.2 trilion terkumpul semasa pentadbiran saya.”

Ketika mengumumkan pakej rangsangan Covid-19 bernilai RM20 bilion semalam, Mahathir berkata Malaysia ada kira-kira RM2 trilion dalam bentuk dana institusi.