PH pertikai sokongan diraih Muhyiddin, pemimpin jumpa malam ini

Pemimpin PH mencalonkan semula Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri selepas pertemuan dengan perdana menteri sementara itu pagi tadi.

PETALING JAYA: Pemimpin Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini selepas mempertikaikan sokongan diperolehi Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin yang diumumkan sebagai perdana menteri ke-8.

Mesyuarat itu akan diadakan di Yayasan Al-Bukhary, selepas Istana Negara mengumumkan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen dan akan mengangkat sumpah ke jawatan pada pagi esok.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dilaporkan mendakwa Muhyiddin mendapat sokongan 114 daripada 222 ahli Parlimen.

Katanya, PAS dan Umno akan menjadi komponen terbesar dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk, tetapi terlalu awal untuk bercakap mengenai komposisi Kabinet baru pimpinan Muhyiddin.

Pemimpin PH bagaimanapun mempertikaikan bilangan itu dengan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, PH mendapat sokongan 111 atau 112 ahli Parlimen dan gabungan itu akan cuba menyerahkan dokumen kepada Istana Negara untuk menyokong dakwaan mereka.

Salahuddin berkata, mesyuarat malam ini untuk membincangkan angka itu. Mesyuarat berkenaan dijangka berakhir 11 malam nanti.

Terdahulu, Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir mempersoalkan dakwaan gabungan yang diketuai Muhyiddin mendapat sokongan 36 ahli Parlimen PPBM.

Menteri besar Kedah itu berkata, Perdana Menteri sementara, Dr Mahathir Mohamad yang juga ahli Parlimen Langkawi mendapat sokongan sekurang-kurangnya 5 ahli Parlimen PPBM, iaitu dirinya sebagai ahli Parlimen Jerlun; Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah).

Pagi tadi, pemimpin PH menyuarakan sokongan kepada Mahathir yang dilantik sebagai perdana menteri sejak 2018, selepas gabungan itu mengalahkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin lalu yang mencetuskan pergolakan politik dengan Yang di-Pertuan Agong menemu bual 220 ahli Parlimen untuk menentukan siapa yang mempunyai sokongan mencukupi bagi menubuhkan kerajaan baru.

Muhyiddin dijangka mengetuai kerajaan baru yang terdiri daripada PPBM, Umno, PAS dan ahli Parlimen lain. Gabungan baru itu dijangka dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Selepas PPBM meninggalkan PH, gabungan itu kini diwakili PKR, DAP dan Amanah.

Mahathir menjadi pengerusi PH dan PPBM, parti yang ditubuhkan pada 2016 selepas beliau meninggalkan Umno.

Bagaimanapun, beliau meletak jawatan sebagai pengerusi PPBM pada Isnin lalu, tetapi parti itu enggan menerima peletakan jawatannya.

Pagi tadi, Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan PH mencalonkan semula Mahathir sebagai calon perdana menteri ke-8.

Mahathir pula dilaporkan bersedia memimpin semula kerajaan PH selepas menemui pemimpin gabungan itu hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin mempertikaikan kedudukan Mahathir sebagai pengerusi PPBM dengan alasan parti itu sudah menerima peletakan jawatannya.

Katanya, Fasal 16.9 Perlembagaan PPBM menyatakan jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baru.