PPBM, BN akan bentuk kerajaan Melaka baru, kata Adun

Mohd Rafiq Naizamohideen mendakwa Adun Rembia daripada PKR, Muhammad Jailani Khamis akan menyertai PPBM.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, parti itu dan Barisan Nasional akan membentuk gabungan baru untuk mentadbir negeri berkenaan.

Adun Paya Rumput itu mendakwa mereka mempunyai majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru di Melaka tanpa melibatkan PKR, Amanah dan DAP.

Beliau turut mendakwa Adun Rembia daripada PKR, Muhammad Jailani Khamis akan menyertai PPBM.

“Kita akan mengikut apa yang berlaku di pusat, yang mana untuk Melaka, PPBM ada 2 kerusi sekarang dan Adun Rembia menyatakan hasrat menyertai PPBM.

“Jadi termasuk Rembia, kita ada 3 kerusi PPBM dan akan kerjasama dengan 13 Adun Umno atau BN untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

“Kita akan adakan perbincangan antara saya selaku pimpinan PPBM dan pimpinan Umno atau BN negeri untuk membina kerajaan Melaka yang berwibawa dan lebih baik,” katanya kepada media di kediaman Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara hari ini.

Rafiq berkata, Adun PPBM dan BN akan menghadap Yang di-Pertua Melaka, Khalil Yaakob dalam sehari dua ini.

“Belum lagi sebab kita belum menghadap TYT, insya Allah saya dan pimpinan BN Melaka akan menghadap TYT untuk menubuhkan kerajaan gabungan baru antara PPBM dan BN Melaka.”

Ketika ini, PH yang diwakili PKR, DAP dan Amanah mempunyai 13 daripada keseluruhan 28 kerusi di DUN Melaka, BN juga mempunyai 13 kerusi dan PPBM (2).

Khamis lalu, BN Melaka menolak dakwaan Ketua Menteri, Adly Zahari yang negeri itu kekal dengan status quo dengan semua urusan pentadbiran berjalan seperti biasa.

Ketua Umno Melaka, Abdul Rauf Yusoh dilaporkan menggesa PH membuktikan ia mempunyai mendapat sokongan majoriti wakil rakyat untuk mentadbir negeri itu.

Katanya, jika gagal berbuat demikian, maka kerajaan Melaka antara kerajaan tergantung dan BN bersedia membentuk kerajaan negeri, sekiranya mempunyai majoriti mencukupi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong mengumumkan pelantikan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baru selepas beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

Semalam, Ketua Umno Johor, Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru, selepas Sultan Johor mengizinkan pembentukan gabungan baru terdiri daripada PPBM, Barisan Nasional serta PAS untuk membentuk kerajaan negeri susulan perpecahan PH.

PH Johor hilang majoriti selepas PPBM meninggalkan gabungan itu.