Bukan 6, cuma 3 sokong Dr M sebagai calon perdana menteri PH, kata PPBM

Maszlee Malik adalah antara ahli Parlimen PPBM yang dilihat berada di rumah presiden parti itu Muhyiddin Yassin bagi menyokong pencalonan beliau sebagai perdana menteri.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Mohd Redzuan Mohd Yusof menolak dakwaan bahawa 6 ahli Parlimen parti itu tidak menyokong Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri.

Katanya, dakwaan bahawa 6 ahli Parlimen PPBM bersetuju menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri bersama gabungan Pakatan Harapan adalah tidak benar.

“Tidak ramai yang melawan arus. 6 ahli Parlimen PPBM yang didakwa menyokong Dr Mahathir adalah tidak benar. Kalau ada pun cuma 3 orang, iaitu Dr Mahathir sendiri, Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” katanya ketika ditemui media di kediaman Muhyiddin di sini hari ini.

Redzuan turut memaklumkan senarai sokongan kepada Muhyiddin yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini juga tidak mengambil kita 3 wakil rakyat berkenaan.

“Dalam kiraan kita, kita tidak ambil kira jumlah sokongan mereka. Kita telah tolak (3 mereka) kerana tahu pendirian mereka,” katanya.

Semalam timbalan presiden PPBM Mukhriz Mahathir mempersoalkan majoriti sokongan terhadap Muhyiddin, dengan berkata, bukan semua ahli Parlimen PPBM menyokong presiden parti itu sebagai perdana menteri.

Mukhriz berkata, 6 ahli Parlimen PPBM menyuarakan sokongan kepada Mahathir.

Selain dirinya dan Mahathir sendiri, Mukhriz berkata, ahli Parlimen lain yang menyokong Mahathir ialah Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Syed Saddiq (Muar), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah).

“Bagaimana diakui 36 ahli Parlimen PPBM menyokong Muhyiddin sebagai PM jika ada 6 penyokong Mahathir?

“Bohong untuk jadi PM?” soal menteri besar Kedah itu di Facebook.

Berdasarkan tinjuan FMT di kediaman Muhyiddin sebelum dan selepas senarai jumlah sokongan diserah kepada Agong sebelum ini, Maszlee dan Eddin kelihatan berada di rumah presiden parti itu bersama gabungan pemimpin parti dan ahli Parlimen lain yang turut menyokong beliau sebagai calon perdana menteri.

Dalam pada itu Redzuan berkata, beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti itu untuk menentukan nasib Mukhriz dan juga ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kritikan Mukhriz terhadap pencalonan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Kita ada Lembaga Displin. Kita ada peraturan dan akan jalankan proses itu,” katanya.

Redzuan berkata, jawatan ketua Pemuda juga akan dikosongkan dan dipangku pihak lain susulan kritikan hebat yang dibuat oleh penyandangnya Syed Saddiq dalam isu sama.

“Nampaknya jawatan ketua Pemuda yang disandang oleh Syed Saddiq akan dikosongkan, tapi dia boleh memangku tugas itu atas arahan presiden,” katanya.