Covid-19: Shenzhen mulakan larangan makan anjing dan kucing

Tergamakkah anda untuk makan haiwan peliharaan anda sendiri sedangkan anda tahu ia haiwan yang comel seperti kucing dan anjing.

Namun apa yang berlaku di Shenzhen, China ternyata berbeza apabila mereka sanggup untuk makan haiwan-haiwan comel ini.

Disebabkan wabak Covid-19 yang semakin menunjukkan peningkatan kes yang ketara dalam tempoh seminggu yang lepas, pihak berkuasa bandar Shenzhen mengambil keputusan untuk memulakan larangan memakan kucing dan anjing.

Menurut Reuters, daging khinzir, arnab, daging lembu, makanan laut dan ayam bagaimanapun masih dibenarkan pengambilannya.

Peraturan baru ini dikeluarkan selepas pihak saintis mendakwa bahawa haiwan liar seperti ular dan kelawar yang dijual di pasar Wuhan menjadi punca wabak virus korona.

Perkara ini juga berlaku selepas pihak pemerintah pusat melarang perdagangan haiwan liar pada Isnin lalu.

Menurut Peter Li, pakar polisi Humane Society International yang merupakan sebuah kumpulan kebajikan haiwan, dia bersyukur dengan peraturan itu.

Malah dia juga berharap agar wilayah-wilayah lain di China juga akan mengikut jejak langkah Shenzhen.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]