PH mahu sidang Parlimen 9 Mac diterus, tentu sokongan kepada PM

Presiden PPBM Muhyiddin Yassin hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-8 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mahu persidangan Parlimen pada 9 Mac ini diteruskan seperti dijadualkan.

Dalam satu kenyataan, PH berkata ini adalah peluang terbaik untuk menentukan sokongan kepada perdana menteri dan seterusnya menamatkan kemelut politik negara yang tidak menentu sekarang.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Majlis Presiden PH yang bermesyuarat pada hari ini bersetuju dengan ketetapan tersebut.

“Dengan sokongan 112 ahli Parlimen memohon sidang pertama bagi penggal ke-3 Parlimen akan diteruskan pada 9hb Mac seperti yang dijadualkan,” katanya.

Parlimen dijangka bersidang selama 24 hari bermula 9 Mac hingga 26 April depan.

PH juga melantik Saifuddin Nasution sebagai ketua setiausaha PH yang baru menggantikan bekas menteri luar Saifuddin Abdullah yang keluar PKR dan menyokong pencalonan presiden PPBM Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Muhyiddin hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-8 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah Jawatan dansetia serta sumpah simpan rahsia sebagai perdana menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini kira-kira 10.33 pagi.

Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri interim setelah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ke-7 pada 24 Feb lepas selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM.

Dalam kenyataan hari ini, Mahathir yang turut dicalonkan sebagai perdana menteri oleh gabungan PH mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik ke jawatan itu, sekali gus mendakwa Muhyiddin bukanlah “perdana menteri yang betul”.

Bercakap kepada pemberita di bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini, Mahathir berkata, beliau berasa “paling dikhianati” oleh Muhyiddin dan menjangka dirinya akan dipecat dari PPBM.