Thailand ambil langkah lebih ketat perangi Covid-19

Thailand semalam mengesahkan1 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 42. (Gambar Bernama)

BANGKOK: Thailand mengisytiharkan Covid-19 sebagai satu penyakit berjangkit berbahaya dan memberikan lebih kuasa kepada pihak berkuasa untuk memerangi dan mengawal penularan virus tersebut dengan lebih berkesan.

Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan mengesahkan perkara itu dengan memasukkan COVID-19 kepada senarai 13 lagi penyakit berjangkit berbahaya.

Perkara ini berdasarkan kepada peruntukan dalam Seksyen 5 dan 6 Akta Penyakit Berjangkit dan disiarkan di dalam Warta di-Raja hari ini. Ia akan mula berkuat kuasa pada Ahad.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata, pengumuman itu akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa kesihatan bertindak dengan lebih cepat dan berkesan untuk mengekang penularan tersebut.

“Penyenaraian Covid-19 sebagai penyakit berjangkit berbahaya bukan bertujuan untuk menimbulkan keresahan, tetapi untuk membantu pihak berkuasa kesihatan mengawal penularan virus itu,” katanya pada taklimat harian mengenai penyakit semalam..

Beliau berkata, tindakan itu akan membolehkan pihak berkuasa kesihatan dan pegawai terbabit mengeluarkan arahan menahan dan mengkuarantin mereka yang disyaki pesakit Covid-19 menjalani rawatan dan memberikan kuasa kepada gabenor dengan persetujuan jawatankuasa untuk menutup sementara venue yang terjejas oleh virus tersebut.

Thailand semalam mengesahkan1 kes baru CovId-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 42. Kes itu melibatkan seorang jurujual warga Thailand berusia 21 tahun.

Sehingga kini daripada 42 kes yang disahkan Covid-19, 28 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang, sementara 14 masih lagi menjalani rawatan.